Bahan tambah dalam makanan atau food additives sudah menjadi perkara biasa dalam kehidupan kita sekarang. Siapa berani katakan bahawa ' saya tak pernah makan food additives '. Dalam zaman yang serba moden dan pantas ini, kita tak boleh lari dari memakan makanan yang mengandungi bahan tambah dalam makanan ini.
Tujuan penambahan bahan tambah makanan dalam industri makanan adalah untuk pelbagai fungsi iaitu:
1. Menjadikan makanan lebih tahan lama dan tidak mudah rosak
2. Menambahkan khasiat/ nutrien yang mungkin telah hilang semasa pemprosesan
3. Menjadikan produk lebih menarik
4. Menjadikan produk lebih mudah untuk dimakan atau digunakan.
Menurut Buku Halal Haram, Panduan, terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, berikut adalah bahan tambah makanan yang meragukan dan perlu dielak.
1. Mono dan Digliserida
Monogliserida dan digliserida adalah campuran bahan berlemak yang dihasilkan daripada pecahan lemak dan minyak. Secara komersil, bahan ini mungkin diperolehi dari minyak sayuran, lemak lembu, lemak babi atau minyak ikan.
2. Gelatin
Gelatin adalah sejenis protein yang secara komersil dihasilkan daripada kulit/tulang lembu, babi atau ikan. Biasanya sesuatu label tidak menyatakan perbezaan dalam sumber gelatin yang terkandung dalam makanan. Oleh itu, produk makanan yang mengandungi gelatin adalah meragukan kecuali jika labelnya secara jelas menyebut penggunaan gelatin yang halal atau dari sumber ikan
3. Enzim
Penggunaan enzim sangat meluas dalam industri makanan dan tenusu. Sumbernya mungkin diperolehi dari binatang, tumbuhan atau mikrob. Enzim binatang yang lazimnya digunakan adalah renin, yang diperolehi dari perut anak lembu. Pepsin merupakan enzim penghadaman yang diperolehi daripada perut babi.
4. Gliserin/ Glycerine
Bahan yang terhasil dari lemak binatang, minyak tumbuhan atau bahan2 petrokimia.
5. Lesitin/ Lecithin
Merupakan pengemulsi dalam produk makanan yang mengandungi lemak. Sumber lesitin yang sering digunakan adalah kacang soya. Jika produk makanan tidak melabelkan sumber lesitin, maka perlu diragui.
6. Alkohol
Alkohol atau nama lainnya, etanol atau etil alkohol adalah bahan yang memabukkan dan haram dimakan. Dalam industri makanan, banyak bahan perasa/perisa/pewarna yang dicampur dengan alkohol sebagai pelarut.
Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai penemuan Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan isu2 berkaitan halal haram dalam industri makanan, dapatkan buku panduan Halal Haram yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang.